08 Jan Sarawak Sokong Cadangan Jadi Kuching ‘Centre Of Excellency’ Bagi Sukan Kriket
KUCHING: Sarawak menyokong sepenuhnya cadangan untuk menjadikan negeri ini sebagai ‘Centre Of Excellency’ bagi sukan kriket di rantau Borneo.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah tersebut itu amat baik untuk Sarawak setelah minat terhadap kriket di negeri semakin meningkat.
Cadangan tersebut disuarakan oleh Penaung Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Jaafar pada sidang media Piala Dunia T20 Wanita Bawah 19 Tahun Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) 2025 yang berlangsung kelmarin.
“Saya sepenuhnya menyokong cadangan itu, terutamanya dengan kadar minat terhadap kriket yang kita dapat lihat semakin meningkat di Sarawak.
“Saya ingin mengakui komitmen yang telah diberikan oleh mereka dalam Persatuan Kriket Sarawak dalam usaha membangunkan minat terhadap kriket,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas lawatan beliau ke Borneo Cricket Ground, Petra Jaya pada Selasa.
Lebih manis ujar Dato Sri Abdul Karim, Sarawak baru-baru ini telah memenangi Kejohanan Kriket Wanita MCA Malaysia yang menjadi pencapaian yang belum pernah Sarawak capai sebelum ini walaupun kriket adalah sukan yang agak baharu di Sarawak.
“Dengan padang kriket baharu ini dan inspirasi yang datang bersamanya, serta kejohanan bertaraf dunia yang kita anjurkan, saya sangat yakin ia akan membina asas yang kukuh untuk pemain kriket di kalangan (pelajar)sekolah-sekolah. Kita akan menyebarkan minat terhadap kriket kepada sekolah-sekolah,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap bukan sahaja pasukan wanita yang akan membawa kebanggaan kepada Sarawak namun Pasukan lelaki juga diharapkan dapat mencapai tahap tersebut di Malaysia, dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Frederick serta dif-dif kehormat yang lain. -EDISI UKAS