18 Jan Zon Tengah kuasai bola tampar lelaki dan wanita SUKSAR III
SIBU: Zon Tengah memenangi pingat emas acara lelaki bola tampar lelaki dan wanita Sukan Sarawak (SUKSAR) III pada perlawanan akhir mendebarkan yang berlangsung di Stadium Bola Tampar Rejang, hari ini.
Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita berjaya mengetepikan lawan masing-masing dari Zon Utara dan Zon Barat dengan kemenangan selesa 3-0.
Perlawanan berlangsung seperti balas dendam untuk pasukan lelaki Zon Tengah selepas mereka ditewaskan oleh Zon Utara 1-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan.
Dalam pertembungan terakhir, Zon Tengah memulakan permainan dengan cemerlang, mencatatkan kedudukan 6-0 dan melebarkannya kepada 8-0 sebelum Zon Utara memperoleh mata pertamanya.
Dikuasai oleh pemain SUKMA Brandon Chiu dan Chia Yik Jie, menyebabkan pemain Zon Utara kelihatan seperti hilang tumpuan.
Bagaimanapun, ketika permainan berlangsung Zon Utara yang dibarisi pemain bintang mereka Howard Ngu dan Clement Wong berusaha untuk bangkit dan merapatkan defisit kepada 17-19.
Pada satu peringkat, Zon Utara turut berjaya menyamakan kedudukan 20-20 sebelum Zon Tengah melancarkan permainan cemerlang untuk memenangi perlawanan pertama dengan kedudukan 25-20.
Kekalahan itu terlalu berat untuk ditanggung oleh Zon Utara dan dalam dua perlawanan seterusnya Zon Tengah menang mudah 25-16, 25-21 dan merampas pingat emas.
Terdahulu, pasukan wanita Zon Tengah menunjukkan keunggulan mereka dan dengan mudah mengalahkan Zon Barat 3-0 (25-15, 25-19, 25-11).
Pemain-pemain Zon Tengah memberikan beberapa persembahan yang mengagumkan, hantaran yang baik dan kemahiran smash yang tajam.
Selepas kehilangan dua set pertama, Zon Barat berusaha bangkit semula pada set ketiga.
Bagaimanapun, Zon Tengah tidak memberi peluang sambil disorak penyokong dan mereka hampir tidak melakukan sebarang kesilapan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng yang melawat venue semasa permainan, mengucapkan tahniah kepada pasukan bola tampar atas kemenangan itu.
Beliau turut berharap semua atlet yang mengambil bahagian dalam SUKSAR bekerja keras dan memperoleh tiket ke Sukan Malaysia (SUKMA).
“Bagi mereka yang terpilih mewakili Sarawak untuk SUKMA, kami mahu mereka berlatih bersungguh-sungguh, mendapat inspirasi dan semua harus berasa bangga untuk mewakili Sarawak.
“Semoga kali ini, kita dapat gelaran juara,” katanya.
Chieng turut merakamkan ucapan terima kasih kepada atlet Zon Tengah kerana menunjukkan semangat yang tinggi dan inspirasi hebat yang ditunjukkan untuk membantu Zon Tengah memberi keputusan membanggakan.
“Penganjuran SUKSAR di Sibu buat kali pertama, pasti akan membantu menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai sukan kegemaran mereka sambil membina nama untuk diri mereka sendiri.”
Sumber : Utusan Borneo Online