18 Jan Zon Selatan gondol empat pingat emas SUKSAR III
SIBU: Zon Selatan menggondol empat daripada enam pingat emas yang dipertandingkan dalam acara judo Sukan Sarawak (SUKSAR) Ke-3 yang berlangsung di Pusat Komuniti Azman Hashim, hari ini.
Kedua-dua peserta lelaki dan wanita Zon Selatan masing-masing menyumbang dua pingat emas.
Chloe Hiu Xhi Yuan memperolehi kemenangan pertama apabila merangkul emas judo dalam kategori -55kg wanita selepas menumpaskan Joelle Leong Se Mun dari Zon Tengah yang memenangi tempat kedua dan Clarisse Chelsea Jerim dari Zon Utara untuk pingat gangsa.
Carmen Lee Jia Wen dari Zon Selatan turut mengumpul pingat emas, diikuti Ashley Tan Yi Xuan dari Zon Tengah dan Zon Utara Amanda Ong.
Bagi bahagian lelaki, Michaell Leano Jerim dari Zon Selatan meraih emas dalam kategori 66kg, diikuti Janson Kuan dari Zon Tengah dan Carlson Voon dari Zon Utara.
Ethan Lee Ming dari Zon Selatan turut mempamerkan keunggulannya apabila bergelar juara dalam kategori bawah -81kg manakala peserta Zon Tengah Xu Hai Ding di tempat kedua, diikuti Zon Utara Jacob Noel Dylan.
Dalam kategori kelas berat, peserta Zon Tengah Elisha Noel Dylan merangkul pingat emas dalam kategori +81kg, diikuti Lau Chien Sien dari Zon Selatan dan Lau Swee Hung dari Zon Utara.
Pemenang pingat emas tunggal utara, Tan Xin Hung merangkul emas dalam kategori +63kg, diikuti Leng Ko Jia dari Zon Tengah dan Lee Yi Han dari Zon Selatan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Judo Sarawak Dato Sri Lau Kueng Chai melahirkan rasa gembira kerana Sibu menganjurkan acara judo buat kali pertama dalam sejarah Sarawak.
“Ini adalah satu kejayaan besar untuk pembangunan judo di Sibu dan diharapkan SUKSAR akan membantu merangsang lebih ramai anak muda untuk menceburi sukan itu,” katanya selepas menyampaikan pingat kepada pemenang.
Lau berkata, SUKSAR boleh digunakan sebagai landasan menyediakan atlet bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang yang akan diadakan di Mukah.
“Sarawak tidak pernah memenangi sebarang pingat emas dalam acara judo pada SUKMA dan diharapkan tahun ini kami berusaha dan kami yakin mendapat beberapa pingat emas,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo Online