Zon Barat tuan rumah SUKSAR IV

SIBU: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan Zon Barat (Sri Aman, Betong, Sarikei) sebagai tuan rumah untuk penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2025.

Menurut beliau, pemilihan kawasan tersebut mengambil kira sistem pergiliran untuk menjadi tuan rumah kejohanan dwitahunan berkenaan.

“Kita melaksanakan pergiliran untuk menjadi tuan rumah penganjuran SUKSAR.

“Bagi edisi keempat, Zon Barat (Sri Aman, Betong, Sarikei) diberi mandat untuk tujuan tersebut,” ujar Karim.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan SUKSAR III, Sibu 2023 mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Stadium Tertutup Sibu, semalam.

Tegas beliau, pergiliran untuk temasya tersebut bagi memberi peluang kepada semua zon merasai menjadi tuan rumah.

Temasya SUKSAR mula diperkenalkan pada 2017 dan Zon Selatan (Kuching, Kota Samarahan, Serian) menjadi tuan rumah pertama yang berlangsung di Bandaraya Kuching.

Bagi edisi kedua SUKSAR 2019, Zon Utara (Bintulu, Miri, Limbang) menjadi tuan rumah berlangsung di Bandaraya Miri.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation