Yakin skuad ragbi Sarawak lebih mantap

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekuti, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan percaya skuad ragbi yang akan dibentuk untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 akan lebih mantap.

Ia mengambil kira langkah drastik dilakukan badan induk selepas melakukan pemilihan pemain.

“Hujung minggu lalu berlangsung Kejohanan Ragbi Peringkat Umur 2023 di Kompleks Sukan Azman Hashim, Sibu.

“Kejohanam dua hari yang antara tujuannya memilih pemain berbakat untuk mewakili Sarawak di temasya Sukma 2024,” ujar Awang Putrayusrie kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, kejohanan terbabit nyata meriah serta sengit apabila turut berupaya menghimpunkan 15 pasukan lelaki dan wanita.

“Penilaian awal dilakukan, kita melihat ramai pemain muda berbakat untuk diserap ke dalam skuad yang akan dibentuk kelak.

“Kita komited untuk cuba menyediakan satu pasukan yang mampu bersaing serta berupaya menghadiahkan pingat pada saingan sebenar,” tegas Awang Putrayusrie lagi.

Dalam pada itu, beliau akui persatuan lain yang terlibat dengan Sukma 2024 kini rancak melaksanakan proses pencarian atlet terbaik.

Selain menganjur kejohanan, barisan atlet yang dikenal pasti diperingkat awal turut diberi peluang menyertai pelbagai kejohanan di luar Sarawak.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation