24 May Velodrom tak sempat siap
RANCANGAN Kerajaan Sarawak untuk membina velodrom bagi acara berbasikal mungkin tidak dapat direalisasikan untuk kegunaan temasya Sukan Malaysia (SUKMA 2024).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia kerana pembinaan velodrom ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun.
“Untuk membina velodrom secara peribadi saya melihat ia akan mengambil masa yang lama, iaitu dua hingga tiga tahun, manakala SUKMA hanya berbaki setahun lagi.
“Tidak mungkin kita boleh mendapatkan velodrom untuk perlumbaan trek bagi temasya berkenaan kerana pembinaan pusat berkenaan dijangka siap pada 2026,” katanya.
Bagaimanapun jelas Karim, walaupun velodrom ini tidak dapat dibina, ia tidak akan menghentikan acara berbasikal dalam SUKMA kelak.
Katanya, acara berbasikal tersebut dijangka akan diteruskan dan diadakan di Jalan FAC, Kuching.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, semalam.
Semasa ucapan penggulungannya, beliau berkata Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia telah sebulat suara mengamanahkan Sarawak sebagai tuan rumah untuk penganjuran SUKMA 2024.
Katanya, tarikh yang dicadangkan Ialah pada 17 hingga 25 Ogos 2024 di lapan bahagian sekitar negeri ini.
“Untuk berkongsi kemeriahan SUKMA sesama warga Sarawak di pelbagai bahagian di Sarawak, terdapat lapan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri telah dikenal pasti dan dicadangkan untuk menjadi antara lokasi SUKMA 2024,” katanya.
Sumber : Suara Sarawak