
19 Jul Tiga pemain tenis Sukma Sarawak sertai kejohanan Tenis Siri Jelajah Dunia ITF Sirkit Profesional M15
KUCHING: Tiga pemain tenis skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak akan turut serta dalam Kejohanan Tenis Siri Jelajah Dunia ITF Sirkit Profesional M15 yang akan berlangsung seminggu di Kuching, bermula 1 Ogos depan.
Ketiga-tiga pemain terbabit adalah Muhammad Aiman Hamdan, Jimmy Liong dan Hii Shieng Wee.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawanan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan berprestij tersebut bakal menghimpunkan pemain-pemain tenis rangking dunia sekali gus menjadi pentas terbaik kepada perkembangan bakat muda pemain tenis Sarawak.
“Setakat ini sebanyak 18 buah negara dengan 61 pemain berdaftar telah mengesahkan penyertaan.
“Manakala 22 negara lain dengan 208 peserta masih dalam fasa kelayakan yang mana sekarang ini mereka masih melakukan saringan percubaan untuk turut serta.
“Kejohanan kedua dilaksanakan selepas kali pertama pada 2012 nampaknya mendapat respon menggalakkan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, tingkat 17, hari ini.
Menurutnya, antara negara yang telah melayakkan diri adalah Vietnam, Czech Republic, Jerman, India dan China.
Tambahnya kejohanan terbabit akan dikendalikan oleh pengadil-pengadil bertauliah dari India.
Sementara itu Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew berkata sambutan kejohanan antarabangsa itu mendapat sambutan menggalakkan daripada negara luar.
“Kita bakal melihat ramai pemain-pemain tenis handalan hadir menyertai kejohanan.
“Peluang ini turut diberikan kepada pelapis-pelapis Sukma Sarawak yang berpotensi untuk menyertai.
“Diharapkan juga kita mendapat sokongan dalam menaik taraf fasiliti sedia ada sebagai membuktikan Sarawak ke arah menjadi pusat sukan dunia kepada pengunjung-pengunjung dari negara luar,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Morshidi Fredrick dan Pengarah Urusan Lea Sports Centre selaku penaja utama kejohanan, Raymond Sim.
Sumber : Suara Sarawak