15 Jan SUKSAR platform Sarawak lahirkan jaguh sukan – Gerald Rentap
SIBU, 15 Jan: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) 2023 yang bermula hari ini hingga 18 Januari menjadi medan persiapan awal kontinjen Sarawak untuk memburu gelaran juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, 13 acara yang dipertandingkan pada SUKSAR edisi ketiga ini merupakan sukan yang menjadi sasaran Sarawak untuk menang pingat emas pada SUKMA yang berlangsung Ogos ini.
“Sarawak ingin muncul juara SUKMA yang berlangsung di tempat kita.
“(Oleh itu) SUKSAR menjadi platform terbaik untuk menonjolkan atlet kita selain membuka ruang kepada anak Sarawak bertanding ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau ditemui TVS selepas melakukan tinjauan persiapan akhir sebelum Perasmian SUKSAR Sibu 2023 di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, penganjuran SUKSAR juga bertujuan untuk melihat kemampuan barisan atlet Sarawak dari setiap zon .
Pada masa sama, beliau berkata, berbaki 215 hari lagi menjelang SUKMA Sarawak, kementerian mahu kesemua persatuan sukan bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah.
“Acara yang dipertandingkan pada SUKMA Sarawak merupakan sukan teras.
“Oleh itu saya boleh katakan SUKSAR juga menjadi langkah awal kita untuk mencapai hasrat Sarawak menjadi Sport Powerhouse 2030,” tambahnya. -TVS
Sumber : TVS