
15 Jan SUKSAR diharap dapat menemui bakat-bakat baharu, bantu Sarawak juarai SUKMA 2024
SIBU: Sarawak berharap dapat menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di negeri ini pada Ogos depan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, oleh itu penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) Ke-3 2023 di sini diharapkan dapat menemui bakat-bakat baharu untuk membantu negeri ini merealisasikan harapan tersebut.
“Kita berharap SUKSAR ini menjadi menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat anak muda Sarawak sebagai persiapan bagi menghadapi SUKMA 2024.
“SUKSAR 2023 yang diadakan di Sibu ini merupakan platform bagi mencungkil atlet-atlet yang baharu dan berpotensi untuk menyertai SUKMA 2024 di Sarawak kelak,” katanya ketika ditemui pemberita semasa hadir menyaksikan raptai penuh acara perasmian SUKSAR 2023 di Stadium Tertutup Sibu pada malam tadi.
Awang Putrayusrie memberitahu, untuk rekod Sarawak telah menjadi tuan rumah untuk kali ketiga sejak 1990 dan 2016.
“Tahun ini, SUKMA 2024 diadakan lagi di Sarawak dan kita berharap agar kali ini suatu keajaiban bagi Sarawak untuk memenangi kejuaraan bagi acara berprestij itu nanti,” tegasnya.
Mengenai SUKSAR, katanya, seramai 1,600 atlet daripada empat zon di Sarawak iaitu Zon Selatan, Barat, Tengah dan Utara akan bertanding serta merebut kejuaraan pada edisi kali ini.
Jelasnya lagi, acara itu mempertandingkan sebanyak 13 acara sukan antaranya angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, futsal, hoki dewan, judo, karate, pencak silat, sepak takraw, taekwondo, tinju dan wushu.
Perasmiannya bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu di Stadium Tertutup Sibu pada jam 4.30 petang hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Dolhadi Marzuki, wakil Pejabat Residen Sibu Diana Toh dan wakil-wakil kontinjen Zon Selatan, Barat, Tengah dan Utara.
Sumber : Utusan Borneo Online