SUKMA XXI: Platform semangat kebangsaan dan perpaduan rakyat

KUCHING: Temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Ke-21 bukan hanya penganjuran terbesar negara sejak ia bermula 1986, tetapi juga platform penting yang membawa semangat kebangsaan dalam mengukuhkan perpaduan rakyat.
 
Menghimpunkan lebih 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri di Malaysia termasuk negara Brunei, kejohanan yang menampilkan 37 sukan dan 490 acara itu turut memberi peluang kepada semua menikmati kekayaan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Menurut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pencapaian dalam gelanggang sukan kejohanan tersebut bukan hanya untuk mengejar kecemerlangan, tetapi turut memupuk semangat kebersamaan.

“Pelancaran hari ini sekali gus membawa harapan baharu, semangat persaudaraan dan inspirasi kepada kita semua kerana sukan bukan sekadar pertandingan.
 
“Namun, ia merupakan wadah pembinaan karakter, kepimpinan pengurusan dan semangat kesukanan yang tinggi sebagai platform memupuk kecemerlangan, semangat persaingan yang sihat dan kekuatan bersatu padu dalam kalangan atlet muda negara.

“Semangat inilah yang akan meleburkan perbezaan dan mengukuhkan jalinan persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam teks yang dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Pelancaran SUKMA XXI dan Para SUKMA XXI 2024 di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
 
Katanya, sebagai tuan rumah dan negeri yang diamanahkan, Kerajaan Sarawak komited menyediakan persekitaran kondusif, memberikan sokongan berkekalan dan memastikan setiap peserta merasai pengalaman yang bermakna.
 
Kejohanan Sukma dari 17 hingga 24 Ogos itu akan berlangsung di sembilan bahagian di negeri ini, bertujuan memberi peluang kepada masyarakat luar bandar Kuching menonton kejohanan bertaraf tinggi itu.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation