26 Mar SUKMA XXI 2024: Perkampungan Sukan Sarawak dijamin siap bulan Jun
KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberi jaminan bahawa projek Perkampungan Sukan Sarawak (SSV) di Petra Jaya akan siap sepenuhnya pada bulan Jun depan.
Ini sekali gus mampu menghadirkan cetusan semangat buat atlet yang akan terlibat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 memandangkan perkampungan sukan itu akan menjadi pusat penginapan bagi Kontinjen SUKMA Sarawak.
“Kita optimis perkampungan sukan terbabit dapat disiapkan sepenuhnya pada Jun depan.
“Projek pembinaan SSV kini sudah mencapai 90 peratus dan ia merupakan tempat penginapan bagi atlet, jurulatih serta pegawai Kontinjen SUKMA Sarawak kelak,” ujarnya pada sidang media selesai taklimat yang diberikan oleh pihak kontraktor terlibat sebentar tadi.
Terdahulu, Abdul Karim bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, melakukan lawatan ke beberapa tapak projek kemudahan sukan yang dalam proses pembinaan.
Dalam pada itu, Abdul Karim bersama rombongan turut mengadakan lawatan ke Dewan Wushu dan Stadium Sarawak, Petra Jaya.
Katanya, Dewan Wushu itu juga dijamin siap sepenuhnya pada bulan Jun nanti.
“Dewan Wushu yang bakal digunakan di temasya SUKMA XXI tersebut merupakan antara yang terbesar di Malaysia,” tambahnya.
Sambil itu, beliau bersama rombongan turut meninjau kerja-kerja menaik taraf Stadium Sarawak, yang merupakan venue bagi perasmian temasya dwitahunan negara itu nanti.
Temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos akan datang.
Sumber : Suara Sarawak