SUKMA XX: Semangat pahlawan membawa tuah, skuad bola tampar lelaki raih emas

SUKMA XX: Semangat pahlawan membawa tuah, skuad bola tampar lelaki raih emas

KUALA LUMPUR: Semangat pantang menyerah dan kata keramat ‘agi idup agi ngelaban’ menyaksikan pasukan bola tampar lelaki Sarawak menewaskan Selangor di sini, semalam.

Dalam saingan lebih dua jam itu, Sarawak berjaya menundukkan Selangor 3-2 (27-25, 24-26, 23-25, 25-23 dan 16-14) dalam aksi cukup mendebarkan yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam.

Walaupun berdepan cabaran hebat dari Selangor, namun pasukan Sarawak tidak menyerah dan mempamerkan semangat juang tinggi bagi menjulang pingat emas untuk Sarawak.

“Kemenangan ini sangat fantastik di mana selepas 12 tahun, kita berjaya mendapatkan semula pingat emas dalam acara sukan bola tampar ini.

“Saya harap selepas ini mereka sentiasa menyambung legasi untuk meneruskan kemenangan untuk masa depan.

“Saya sebenarnya menjangkakan pasukan Sarawak akan menang, namun saya tidak jangka permainan ini berlangsung dalam lima pusingan,” kata Penolong Chef de Mission Bola Tampar Joseph Chieng Jin Ek ketika ditemui media selepas perlawanan tersebut.

Menurutnya, ia merupakan perlawanan yang begitu mencabar disebabkan Selangor merupakan pasukan handalan, namun pasukan Sarawak tidak pernah berasa gentar untuk berjuang memburu emas.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan bola tampar Philio Teo Chit Boon berkata, pihaknya dari sudah awal-awal merancang strategi untuk melangkah ke peringkat akhir.

“Kita dapat atur strategi untuk mencari sesuatu yang terbaik bagi meraih kejuaraan,” katanya.

Ditanya mengenai bagaimana latihan dijalankan, beliau memberitahu Sarawak mempunyai kawasan besar dan pemain tinggal di pelbagai bahagian.

“Ada dari Miri, Sibu, Sarikei, Kuching, Mukah dan Limbang di mana kesemua mereka menjalani latihan di Sibu.

“Bukan senang hendak menjalani latihan berpusat di Sibu kerana ia melibatkan bajet yang besar, tambahan pula terpaksa menggunakan pesawat.

“Kita juga terpaksa mencari dana yang mencukupi, kalau tidak ini tidak akan jadi. Terima kasih Datuk Moh yang sentiasa menyokong dari belakang supaya pasukan jadi juara,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pasukan Ranjit Ramu berkata, selogan ‘agi idup agi ngelaban’ adalah pembakar semangat untuk pasukan terus berjuang tanpa menyerah kalah.

“Kesemua pemain mempunyai semangat pahlawan di mana sekiranya mereka ada sifat takut dan berkecil hati, saya tidak akan masukkan mereka untuk bermain,” jelasnya.

Ranjit yang juga pemain terbaik (MVP) acara bola tampar berkata, slogan itu adalah pembakar semangatnya, lebih-lebih lagi SUKMA kali ini adalah edisi terakhir untuknya.

“Ini adalah SUKMA terakhir saya dan saya perlu serlahkan seluruh kemampuan saya, berusaha untuk menang,” jelasnya.

Walaupun mengalami sedikit kecederaan katanya, namun ia bukan penghalang untuk terus memberikan skor kepada pasukannya.

Sementara itu, pengurus pasukan bola tampar SUKMA Sarawak Datuk Moh Wung Ming turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang membantu dan menyokong pasukan yang berjuang untuk SUKMA kali ini.

“Terima kasih kerajaan Sarawak yang sentiasa menyokong persediaan SUKMA kali ini. Terima kasih Presiden Persatuan Bola Tampar Sarawak Datuk Vincent Lau.

“Untuk SUKMA ini juga, saya ingin berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalannya Datuk Gerald Rentap Jabu dan Joseph, terutamanya Datuk Karim yang dalam setiap ucapan sentiasa memberi motivasi kepada kita,” ujarnya.

Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation