SUKMA XX MSN KL 2022 Lagi pingat emas dari boling

KUALA LUMPUR: Pasukan tenpin boling terus menghadiahkan pingat buat Kontinjen Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022.

Pingat emas diperoleh menerusi gandingan Lavinia Kho Jia Jie dan Nur Hazirah Ramli yang berjaya memperoleh 2,374 jatuhan pin dalam kategori berpasangan wanita pada aksi final yang berlangsung di Sunway Megalanes, Sunway Piramid malam tadi.

Pingat perak kategori tersebut milik pasangan dari Melaka, Nurul Natasha dan Puteri Nurshahira dengan 2,306 jatuhan pin.

Manakala gangsa milik Nurul Aisyah Salleh dan Anis Hannani dari Johor in yang sekadar memperolehi 2,268 jatuhan pin.

“Syukur kerana kami berjaya meneruskan momentum terbaik pada aksi final yang berlangsung malam tadi,” kata Lavina ketika ditemui selesai majlis penyampaian hadiah.

Nur Hazirah turut gembira dengan kejayaan menyumbang pingat emas buat Kontinjen Sarawak.

“Saya sangat menghargai dan bersyukur dengan sokongan yang sentiasa diberikan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, bagi acara trio lelaki, wakil Sarawak Abner Loo Chun Lik, Musayyar Khalid dan Abang Afiq Yazid Abang Azman berjaya menyumbang pingat gangsa dengan memperoleh 3,665 jatuhan pin.

Pingat emas dimenangi Megat Zaqrul Haiqal, Muhammad Hariz Adlan dan Muhammad Shafiy Zaim dari Pulau Pinang dengan 3,671 jatuhan pin.

Manakala perak menjadi milik Matthew Ong Tzi Ming, Ahmad Azriq dan Muhammad Hazim dari Kuala Lumpur dengan 3,667 jatuhan pin.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation