SUKMA XX: Berjuang sambil jaga nama baik negeri

KUCHING: Kontinjen Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) Sarawak diseru menggalas semangat perjuangan yang tinggi untuk membawa balik kejayaan pada temasya sukan tersebut yang diadakan di Kuala Lumpur.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, atlet perlu mempunyai semangat perjuangan sebagai seorang wira, selain menanam semangat tidak berputus asa.

“Atlet adalah wira Sarawak dalam sukan dan apabila disebut wira, mesti ada semangat perjuangan sebagai seorang wira Sarawak, supaya kita dapat kejayaan pada SUKMA XX nanti.

“Perjuangan dalam SUKMA ialah supaya kita dapat kejayaan yang besar dalam sukan dan kita mesti mempunyai semangat tidak (mahu) kalah apabila masuk ke arena sukan, selain niat kita memberi kemenangan kepada negeri diwakili,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Kepada Ketua Kontinjen SUKMA XX Sarawak di Hotel Raia di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Chef de Mission Dato Gerald Rentap Jabu dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Nancy Jolhi serta 21 Pembantu Chef de Mission yang terdiri daripada Ahl Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Abang Johari percaya kontinjen Sarawak telah bersedia dengan tahap kesukanan yang tinggi selepas melalui latihan dalam jangka masa yang panjang akibat COVID-19.

“Tahniah kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang telah bersedia dalam masa empat tahun lalu, walaupun dalam pandemik mereka bersedia berlatih untuk memungkinkan satu tahap sukan yang tinggi dalam SUKMA.

“Selain itu, jagalah nama baik Sarawak sambil itu kita berjuang dalam satu semangat bahawa andalah bintang-bintang Sarawak dan sekiranya mendapat kemenangan, andalah kebanggaan Sarawak,” katanya.

Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak menekankan pembangunan sukan di negeri ini dengan menyediakan stadium sebagai fasiliti untuk latihan sukan.
“Negeri kita besar dan apabila berjumpa dengan belia, mereka (belia) minta kerajaan untuk membina stadium.

“Walaupun harga tinggi, kerajaan tetap bina stadium di peringkat daerah untuk mereka berlatih sama ada di peringkat sekolah, daerah, bahagian dan akhirnya ke peringkat negeri,” jelasnya.

Abang Johari menambah, kerajaan juga dalam rancangan membina velodrom (trek berbasikal) sebagai kemudahan untuk atlet berbasikal menjalani latihan.

“Justeru, bagi masa depan Sarawak, mereka yang terlibat dalam sukan perlu ada semangat ‘agi idup agi ngelaban’ serta semangat tidak mahu kalah seperti semangat (Dato) Pandalela Rinong, Bonnie Bunyau Gustin dan juga Watson Nyambek.

“Sekiranya ada semangat seperti itu, kita akan dapat membawa satu karakter yang kuat dalam semua perjuangan daripada sukan hingga kepada kegiatan kehidupan yang lain,” tambahnya.

Sementara itu, Abdul Karim dalam ucapan aluannya berharap agar kontinjen negeri menjaga nama baik Sarawak semasa berada di Kuala Lumpur.

“Jaga kelakuan di SUKMA Kuala Lumpur dan adik-adik (atlet) merupakan duta kita dari Sarawak. Sekiranya berkelakuan tidak baik, ia akan menyebabkan nama Sarawak tercemar,” jelasnya.

Abdul Karim juga turut berharap agar kontinjen Sarawak beroleh kejayaan dan paling penting nyanyian ‘Ibu Pertiwiku’ berkumandang selesai sahaja sukan tersebut.
“Kita mahu lagu ‘Ibu Pertiwiku’ berkumandang dalam setiap acara, di mana apabila lagu itu dimainkan, kita (Sarawak) menang atau menjadi juara,” jelasnya.

Untuk rekod, kontinjen Sarawak akan menghantar 564 atlet untuk berentap pada temasya SUKMA XX yang akan diurus seramai 41 ketua pasukan.

Bacaan ikrar yang diketuai oleh atlet tinju Sarawak Daeloniel Mcdelon turut diadakan pada majlis tersebut.

Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation