SUKMA: Sarawak raih dua pingat menerusi tenpin boling

KUALA LUMPUR: Kem tenpin boling terus menambah koleksi pingat buat Kontinjen Sarawak menerusi kategori berpasangan campuran.

Sarawak berjaya memperoleh dua pingat pada saingan yang berlangsung di Sunway Megalanes Subang lewat malam tadi.

Gandingan Musayyar Khalid dan Nur Aina Kamalia Abdul Ayub antara yang mencuri tumpuan, apabila menyumbang pingat emas dengan 2,452 jatuhan pin pada enam peringkat balingan.

Tidak hanya itu, pasangan Nur Hazirah Ramli dan Abang Afiq Yazid Abang Azman pula berjaya menyumbang pingat gangsa selepas memperoleh 2,395 jatuhan pin.

“Sungguh gembira kerana berjaya menyumbang pingat emas buat Sarawak.

“Diharap kejayaan ini dapat mencetus semangat saya untuk terus fokus pada kategori lain selepas ini,” ujar Musayyar Khalid ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Nur Aina Kamalia juga turut menzahir rasa gembira atas kejayaan meraih pingat emas.

“Tidak menjangka dapat beroleh pingat emas. Kami diberi tentangan sengit diawal saingan, namun berjaya bangkit selepas itu,” tegas beliau.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation