
11 Mar SUKMA: Sarawak masih nilai prestasi atlet sebelum umum sasaran pingat
KUCHING: Sarawak masih menilai prestasi dan perkembangan atlet sebelum mengumumkan sasaran pingat pada temasya Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA) yang berlangsung di Sarawak pada Ogos depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya masih memantau keadaan dan perkembangan setiap persatuan yang menghantar atlet untuk berentap pada temasya sukan dwitahunan itu.
“Mengenai sasaran pingat, kita setakat ini masih menilai di mana Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) memantau tiap-tiap persatuan sukan dan melihat perkembangan dari semasa ke semasa.
“Jumlah itu bagaimanapun akan diumumkan selepas (menilai prestasi) pada sasaran akhir yang akan ditetapkan nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Pelancaran SUKMA Ke-21 dan Para SUKMA Ke-21 di Hotel Pullman, hari ini.
Mengenai insentif, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, kerajaan akan menyediakan insentif seperti sebelum ini.
“SUKMA yang lepas kita beri ganjaran namun kita tidak memberi penekanan yang tinggi ke arah itu.
“Kita mahu atlet bersemangat juang untuk menang dengan mendapat juara, naib juara mahupun tempat ketiga dan ia bukan semata-mata untuk duit… kita tidak melihatnya dari segi perspektif itu,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee.
Sumber : Utusan Borneo Online