SUKMA Sarawak diharap jadi acara terbaik: Premier

KUCHING: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 2024 diharap menjadi acara sukan dwitahunan yang terbaik pernah dianjurkan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, penganjuran SUKMA kali ini menyaksikan seramai 15,000 atlet dan pegawai dari pelbagai negeri, termasuk Negara Brunei Darussalam bertandang ke Sarawak pada Ogos depan.

Menurutnya, kehadiran tetamu itu nanti bukan sahaja untuk menjalin persaudaraan, malah turut disertai semangat kebangsaan sekali gus mengukuhkan perpaduan di negara ini.

“Melalui pencapaian dan kejayaan di dalam gelanggang sukan, kita tidak hanya mengejar kecemerlangan, tetapi juga memupuk semangat kebersamaan di antara kita.

“Dalam semangat ini, ia dapat meleburkan perbezaan dan mengukuhkan jalinan persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Edisi Ke-21 2024 di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee dan tetamu lain.

Abang Johari berkata, SUKMA kali ini bakal melibatkan 37 sukan dengan 490 acara keseluruhan.

“SUKMA kali ini akan dikelola di sembilan bahagian di Sarawak iaitu Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Kuching.

“Kluster sukan yang terlibat untuk Kuching adalah 25 sukan, Samarahan (tiga), Serian (satu), Sri Aman (satu), Betong (satu), Sibu (tiga), Mukah (tiga), Bintulu (tiga) dan Miri (enam),” jelasnya.

Beliau menambah, tujuan SUKMA kali ini diadakan di sembilan bahagian adalah agar masyarakat di luar Kuching dapat menikmati limpahan ekonomi dan memberi peluang kepada atlet-atlet menikmati kekayaan budaya masyarakat Sarawak yang berbilang kaum.

Mengenai Para SUKMA katanya, sebanyak 10 sukan dengan 361 acara melibatkan anggaran jumlah 1,400 atlet para dan 600 pegawai bakal berlangsung dari 20 hingga 29 September di Kuching sahaja. 

Sementara itu, Dr Nagulendran yang mewakili Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam ucapannya berkata, SUKMA Edisi Ke-21 mencipta sejarah tersendiri dengan mempertandingkan 37 jenis sukan.

“Ia merupakan peluang yang diberikan oleh kerajaan Sarawak terhadap sukan yang tidak dianjurkan pada SUKMA 2022 sebelum ini.

“Ini menjadi satu peluang keemasan dan ia disambut baik khasnya warga persatuan sukan kebangsaan dan warga sukan peringkat negeri,” katanya.

Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation