SUKMA KL: Kontinjen Sarawak bawa semangat ‘agi idup agi ngelaban’

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan kontinjen Sarawak bagi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menjaga nama baik Sarawak, sambil berjuang dalam satu semangat menjulang nama Sarawak dalam sepanjang tempoh temasya yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 hingga 28 September ini.

Katanya semangat juang ‘agi idup agi ngelaban’ Pandelela Rinong, Bonnie Bunyau Gustin dan Watson Nyambek yang telah mengoncang dunia harus dijadikan sebagai bekalan bagi setiap atlet, tanpa mengenal dengan kekalahan

“Kalau mendapat kemenangan, anda adalah kebanggaan Sarawak.

“Doa dan harapan saya seperti juga rakyat Sarawak yang lain iaitu supaya wira-wira kita membawa pingat yang berkilauan balik ke Sarawak,” katanya ketika berucap pada Upacara Penyerahan Bendera Sarawak kepada Ketua Kontinjen Sarawak, Sukma ke-20 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Chef-de-Mission (CDM) Datuk Gerald Rentap Jabu serta timbalan-timbalan CDM.

Abang Johari (tengah) bersama-sama Karim, Gerald dan timbalan-timbalan CDM merakamkan gambar dengan kontinjen Sarawak, Sukma ke-20 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak amat menekankan pembangunan sukan dan komitmen itu jelas menerusi pembinaan stadium di setiap daerah termasuk mewujudkan pusat sukan untuk masa depan anak Sarawak.

“Apabila kita bersukan, kita rasa ada semangat iaitu ‘agi idup agi ngelaban’ iaitu semangat tidak mahu kalah.

“Dengan semangat itu, kita dapat bawa satu karakter yang kuat dalam semua perjuangan sama ada dari sukan sehinggalah kegiatan hidup yang lain.

“Lebih-lebih lagi Sarawak hendak menuju 2030, kalau kita aktif dalam sukan bermakna aktif juga dalam sektor lain yang boleh mengoncang dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata pembinaan velodrom juga sudah dalam perancangannya untuk membangunkan kemudahan sukan berbasikal di negeri ini.

Katanya ia memandangkan Sarawak ketika ini belum lagi mempunyai kemudahan sukan berbasikal trek itu, sehingga menyebabkan pasukan berbasikal trek Sarawak perlu berlatih di Kuala Lumpur bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukma kali ini, yang turut mempertandingkan acara berkenaan.

Sementara, Karim turut menyuarakan keyakinan bahawa 564 atlet yang mewakili kontinjen Sarawak mampu menyumbang banyak kilauan pingat emas sekali gus meletakkan Sarawak sebagai juara Sukma kali ini.

Katanya kontinjen Sarawak akan mengambil bahagian dalam 31 acara, dengan 426 pertandingan akan diadakan di lima lokasi berbeza iaitu di Kuala Lumpur, Bangi, Bukit Jalil, Shah Alam dan Langkawi.

“Saya tahu atlet kita kini 100 peratus bersedia untuk meneruskan cabaran Sarawak dan cuba membawa pulang
gelaran juara Sukma kali ini,” katanya.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation