SSC meterai MoA dengan Sarawak United FC dan Kuching City FC

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama dua pasukan bola sepak tempatan iaitu Sarawak United FC dan Kuching City FC. 

Majlis menandantangani MoA berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini disaksikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
 
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC Semawi Mohamad dalam ucapannya berkata, MoA ini merangkumi tujuh aspek utama. 

Pertama, penyediaan fasiliti iaitu padang bola sepak bagi sesi latihan bagi kedua-dua pasukan di Stadium Sarawak.
 
“Di bawah MoA ini, SSC menyediakan elaun makan kepada pemain-pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2022 selain elaun makan, penginapan dan pengangkutan pergi dan balik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi pemain-pemain dan jurulatih semasa perlawanan di tempat lawan.
 
“SSC juga menyediakan servis dan fasiliti dari unit prestasi tinggi bagi meningkatkan kecergasan dan kecerdasan diri spesifik kepada keperluan atlet-atlet bola sepak,” katanya.

Semawi berkata, turut disediakan oleh SSC kos penginapan dan pengangkutan bagi pemain-pemain luar kawasan Kuching serta menyediakan satu kali kos penilaian kesihatan kepada pemain-pemain bertanding pada Piala Presiden dan Piala Belia 2022. 

Katanya, anggaran kasar bakal ditanggung oleh kerajaan negeri adalah sejumlah RM1 juta bagi membiayai ketiga-tiga pasukan tersebut. 

“Dalam perkembangan berkaitan, SSC dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) bercadang menubuhkan sekurang-kurangnya dua Pusat Permulaan dan satu Pusat Cemerlang di setiap bahagian bagi sukan bola sepak. 

“Penubuhan pusat itu adalah untuk meluaskan program pembangunan SSC serta mewujudkan satu kelompok pemain-pemain berpotensi tinggi,” jelasnya. 

Semawi memberitahu dengan itu Sarawak bakal mempunyai sebanyak 24 Pusat Permulaan dan 12 Pusat Cemerlang di seluruh negeri ini. 

“Penubuhan Pusat Permulaan dan Pusat Cemerlang ini adalah penting bagi membolehkan program di Pusat Pembangunan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan teratur,” katanya. 
Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation