SSC berhasrat perbaiki prestasi sukan di Sarawak

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk memperbaiki prestasi sukan di negeri ini setiap kali tampil di temasya berprestij negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Beliau berkata, hasrat itu akan digunakan dalam merebut ruang dan peluang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Johor Bahru.

Bagaimanapun katanya, beliau belum dapat memberi gambaran awal dan terperinci berhubung hasrat itu.

“Saya belum mengetahui lagi perincian perancangan tersebut, tetapi itu adalah sasaran utama yang diinginkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah, Terima Tugas Ketua Pegawai Eksekutif SSC/MSNS di Pusat Akuatik Pandelela, Petra Jaya pagi tadi.

Justeru, Putrayusrien juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) memohon kerjasama persatuan sukan di Sarawak untuk bekerjasama dalam pelbagai aspek.

Beliau turut mencadangkan penjadualan semula program, pertandingan serta kursus untuk mencungkil bakat mahupu atlet baharu Sarawak.

“Tahun lepas banyak program pembangunan sukan yang telah dilakukan dan menerusinya kita mendapat bakat baharu dari kawasan luar bandar.

“Kita mungkin tidak dapat menganjur program di semua daerah atau bahagian, tetapi melalui kolaborasi dengan persatuan sukan di peringkat tersebut dan sekolah ia boleh dicapai,” jelas beliau lagi.

Katanya, bermula di peringkat sekolah ini turut melahirkan ramai atlet baharu menerusi program-program yang dilaksanakan pihak sekolah terbabit.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation