Sri Aman sekat impian Samarahan, muncul juara Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021

BINTULU: Skuad Merpati Putih menyekat hasrat Samarahan FA untuk menjuarai Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 selepas mecatatkan kemenangan 1-0 pada aksi final liga itu di di Padang Sintetik BDA, di sini petang Sabtu.

Gol tunggal Sri Aman FA itu dijaringkan pemain Mohd Adif Salim pada minit ke-67 selepas berjaya menyudahkan umpanan rakan sepasukannya.

Dengan kejayaan itu, Sri Aman FA membawa pulang wang tunai RM8,000 beserta piala dan pingat.

Manakala, Samarahan FA selaku naib juara membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan pingat.

Pengendali Sri Aman, Sufian Ibrahim ketika ditemui selepas perlawanan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

“Kemenangan ini adalah kemenangan untuk semua warga Simanggang (Sri Aman),” katanya.

Sementara itu, bagi pengendali Samarahan, Mohammad Sapian Kassim, beliau tetap berbangga dengan usaha gigih para pemain dan menyifatkan kejayaan layak ke final merupakan satu kebanggaan buat pasukannya.

Pada perlawanan akhir itu semalam, Menteri Belia dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi, Presiden FAS Datuk Posa Majais serta barisan Exco FAS dan pegawai SSC turut hadir menyaksikan aksi final tersebut.

Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation