08 Dec SK St. Swithun jadi pusat pembangunan Bola Sepak B-12 pertama Sarawak
SERIAN: Sekolah Kebangsaan (SK) St. Swithun, Payang terpilih sebagai pusat pembangunan Sukan Bola Sepak bawah 12 tahun buat julung kalinya ditubuhkan oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Majlis perasmian berlangsung di perkarangan sekolah terbabit dihadiri Ketua Pegawai Unit Pembangunan Sukan SSC Ahmad Rodzli Hashim mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SSC Morshidi Fredrick.
Rodzli dalam ucapan perasmiannya berkata, usaha ini bagi menaikkan bola sepak Sarawak ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penubuhan pusat itu katanya, sekali gus melakar sejarah tersendiri buat Serian kerana terpilih sebagai pusat pembangunan pertama bola sepak bawah 12 tahun di negeri ini.
“Ia akan melibatkan pemain lelaki dan perempuan dengan fasa pertama membabitkan 30 pemain dari sekolah itu sendiri sebelum SSC melihat perkembangan pusat ke arah lebih jauh merangkumi Kuching, Miri dan lain-lain.
“Kita tidak mahu ketinggalan lagi dalam bola sepak, lelaki mahupun perempuan kerana sudah ketinggalan daam sukan ini.
“Lima tahun akan datang, kita akan lihat hasilnya sebagai penanda aras kepada kejayaan pemain bawah 12 tahun,” ucapnya.
Tegas Rodzli, SSC komited untuk mengembangkan pusat terbabit dengan harapan mampu membangunkan bola sepak Sarawak bermula dari akar umbi.
Sumber : Suara Sarawak