Sarawak tuan rumah Kejohanan Dunia Tenis Junior J300 (J1) rebut Piala Premier Sarawak

KUCHING, 3 Mac: Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa dengan penganjuran Kejohanan Dunia Tenis Junior J300 (J1) bagi merebut Piala Premier Sarawak ke-38 pada 14 hingga 19 Mac depan.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Datuk Patrick Liew berkata seramai 185 orang pemain tenis dari 33 buah negara bakal berentap di Pusat Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini.

Menurutnya Kejohanan Dunia Tenis Junior ini merupakan salah satu kejohanan yang berprestij bagi mengangkat Sarawak sebagai salah satu penganjur utama di Asia Tenggara ini.

“Trofi ini adalah simbol Kejohanan Dunia Tenis Junior J300 yang paling berprestij pada kali ini dan kita akan memastikan acara ini berjalan lancar.”

“Setakat ini, semuanya berjalan lancar dengan sifar aduan pengunjung dan ibu bapa, malah minggu lepas persetujuan telah dicapai dengan pihak negara Jepun bagi membawa masuk pemain bagi sesi latihan selama seminggu di sini,” katanya pada sidang media Piala Premier Sarawak ke-38 bagi Kejohanan Dunia Tenis Junior J300 (J1) di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, peserta dari Kazakhstan akan datang pada minggu depan yang menurutnya kejohanan ini bakal memberi pulangan positif kepada sektor pelancongan sukan kerana peserta pasti akan membawa keluarga ke sini.

” Jadi kami berharap pada kejohanan berprestij ini mendapat sokongan daripada kerajaan, sektor serta media dan agensi lain,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berharap dengan kerjasama ini Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan Persekutuan Tenis Asia (ATF) dapat memperlihatkan komitmen SLTA terhadap sukan tenis dan pelancongan di Sarawak.

Difahamkan bagi peserta lelaki, lima pemain kedudukan teratas yang mengesahkan kehadiran ialah wakil Jepun, Hayato Matsuoka di kedudukan ke-23 dunia, diikuti Hayden Jones dari Australia kedudukan ke-33, Charlie Camus dari Australia kedudukan ke-45, Aryan Shah dari India kedudukan ke-55 dan Yuvan Nandal dari India kedudukan ke-57.

Bagi kategori wanita wakil dari Australia, Emerson Jones pada berkedudukan ke-30 dunia, Melisa Ercan dari Turki kedudukan ke-31, Lily Taylor dari Australia kedudukan ke-56, Lily Fairclough dari Australia kedudukan ke-69 dan Vivian yang mewakili New Zealand di kedudukan ke-83.

Tiga negara menghantar peserta teramai ialah Australia dengan 28 peserta, China 19 peserta dan Malaysia 16 peserta.

Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Sumber : TVS



Sarawak Sports Corporation