Sarawak sasar pingat emas di Kejohanan Muaythai Remaja Dunia 2022

KUCHING, 8 Ogos: Sarawak menyasarkan mengutip beberapa pingat emas menjelang Kejohanan Muaythai Remaja Dunia 2022 yang akan berlangsung minggu ini.

Ketua Jurulatih Muaythai, Muhammad Azan Mohd Nazri berkata Sarawak akan menghantar sembilan atlet yang dibahagi kepada dua kumpulan Muay Tempur (Sport) iaitu Malaysia A dan Muay Seni (Boran) dalam Malaysia B.

“Mengikut pencapaian semasa untuk kami menjangkakan atlet Malaysia A untuk ke final dan meraih pingat emas,” katanya.

Menurutnya, kejohanan tersebut merupakan penyertaan pertama di peringkat antarabangsa bagi kebanyakan atlet mereka.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Morshidi Fredrick berkata Sarawak akan terus menyokong segala pencapaian atlet muaythai di kejohanan ini.

“Kami percaya bahawa dengan latihan yang telah dijalani dan pendedahan yang diterima, atlet-atlet kita akan mengharumkan nama Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penyerahan Bendera Atlit ke Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2022 di sini hari ini.

Bagi Nur Arifah Musfirah Baharom,19, dia dan kakaknya Nur Afiqah Musfirah Baharom, 21, akan memberikan persembahan yang terbaik meskipun ini penyertaan kali pertama mereka sebagai atlet Muay Baron.

“Persiapan dan persediaan kami menjelang kejohanan ini adalah hampir 100 peratus dan kami akan melakukan yang terbaik untuk Sarawak,” katanya.

Manakala bagi Atlet Muay Tempur Malaysia B, Muhammad Nur Aiman Kamaruddin, penyertaan kali pertama bukan penghalang untuk meraih pingat emas.

“Saya ingin membawa pulang pingat emas supaya dapat membanggakan ibu bapa saya,” katanya.

Malaysia menjadi lokasi utama bagi penganjuran temasya tersebut yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 20 Ogos ini bertempat di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Muaythai Antarabangsa (IFMA), Stephan Fox sebelum ini memaklumkan terdapat lebih 100 buah negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu nanti- TVS

Sumber : TVS



Sarawak Sports Corporation