Sarawak sah tuan rumah Sukma 2024

KUCHING: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) secara rasmi bersetuju memilih Sarawak sebagai tuan rumah temasya berprestij negara, Sukma 2024.

Pengerusinya yang juga Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh memberitahu, pemilihan itu adalah berpandukan kepada persetujuan ahli-ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang-seli setiap dua tahun antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.

“Selepas giliran Sarawak, temasya seterusnya pada tahun 2026 akan dianjurkan oleh MSN.

“Kelantan pula telah bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah Sukma 2028 sekali gus memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, rasional sistem penggiliran tuan rumah itu bertujuan untuk mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri.

“Bantuan kewangan itu meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan juga pembiayaan program persediaan atlet-atlet di peringkat negeri,” jelasnya.

Selain itu katanya, Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan, bermula dari temasya Sukma tahun 2024.

“Bermula Sukma 2024, senarai sukan wajib termasuk akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuhraya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah dan menembak.

“Di samping, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin bowling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Sarawak selaku tuan rumah Sukma 2024 juga diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (e-sports) dan ia tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation