24 Mar Sarawak rangkul 9 pingat pada Kejohanan Muaythai Elit Senior dan Junior Peringkat Kebangsaan
KUCHING: Kontinjen muaythai Sarawak mempamer aksi cemerlang dengan merangkul tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Muaythai Elit Senior dan Junior Peringkat Kebangsaan 2022 diadakan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Kota Bharu yang melabuhkan tirai pada Ahad.
Mencuri tumpuan kelibat tiga atlet remaja, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Kelab Muaythai Rentap Kuching), Muhammad Hakim Abdullah (Kelab Muaythai Sting Kuching) dan Texas Jeremy Lo (Kelab Muaythai SS Fighter Kuching) yang menyumbang pingat emas dalam kategori masing-masing.
Mikail menundukkan peserta tuan rumah, Muhammad Danial Hakim Asmadi dalam pertembungan final Remaja Lelaki 12-13 Tahun (35-40kg) untuk meraih emas.
Emas kedua disumbang Hakim yang menumpaskan peserta Kuala Lumpur, Muhammad Fariz Ukasyah dalam kategori Remaja Lelaki 11-12 Tahun (25-30kg).
Manakala Texas menyingkirkan rakan senegeri, Muhammad Syamiel Saufi dalam kategori Remaja Lelaki 12-13 Tahun (40-45kg).
Sementara itu, dua lagi perak disumbangkan Damien Casey Daniel (Kelab D30 Miri) yang tewas kepada atlet Melaka, Wan Muhammad Iffat (Remaja 8-9 Tahun, 25-30kg) dan Khairul Aiman Muzaffar Agus (Kelab PS Muaythai Bintulu) yang kalah kepada pesaing Selangor, Hasril Nazmi (Lelaki Senior 16-40 Tahun, Competitive -B 54-57kg).
Tiga pingat gangsa pula disumbangkan Aqeed Fiqrie Omar (Senior 16-40 tahun, Kelab PS Muaythai Bintulu), Nur Arifah Mahsunah Baharom (Senior 16-40 tahun, Kelab Muaythai Phoenix Meranek Samarahan) dan Nur Azirah Mohamad Yudi (Senior 16-40 tahun, Kelab Muaythai Sting Kuching).
Sementara itu, Mikail dan Hakim menggondol bonus tambahan apabila turut dinobatkan Petinju Terbaik kejohanan dalam kategori masing-masing.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim ketika dihubungi amat gembira dengan pencapaian atlet Sarawak pada kejohanan tersebut.
Katanya, pencapaian merangkul sembilan pingat termasuk tiga emas cukup memberangsangkan kerana mengambil kira penyertaan dari kontinjen lain tidak kurang hebatnya.
“Syabas kepada anak-anak muay Sarawak di atas kejayaan menyumbang sembilan pingat pada Kejohanan Muaythai Elit Senior dan Junior Peringkat Kebangsaan 2022.
“Pencapaian ini membuktikan atlet kita terutama yang remaja mempunyai potensi besar dan boleh pergi lebih jauh lagi selepas ini.
“Sudah tentu, kejohanan ini menjadi medan berguna kepada atlet-atlet kita membuat persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Kuala Lumpur kelak,” katanya.
Jumaat dalam pada itu menyatakan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) yang telah memberikan sokongan kepada PMNS untuk membolehkan Sarawak menyertai kejohanan tersebut.
Pada kejohanan kali ini, kontinjen muaythai Sarawak mempertaruhkan seramai 13 atlet.
Atlet lain adalah Jordan Bokoet Herman (Bau Muaythai Club), Mohd Hairol Salmi (Kelab Muaythai Sting Kuching), Dylan Casey Daniel (Kelab D30 Miri) dan Ayu Addyqa Azmi (Muaythai Kenyalang Kuching).
Mereka diiringi jurulatih SSC, MSNS dan PMNS, Mohd Azan Putra; jurulatih Pusat Pembangunan Muaythai Samarahan, Roslan Jahani; Pusat Pembangunan Muaythai Kuching, Zulkeplie Abdul Rahman; wakil PMNS Norizan Ibrahim dan Ali Mos dan Pegawai Pembangunan Sukan SSC, Alexander Sirai.
Sumber : Utusan Borneo Online