27 May Persatuan sukan digesa tingkatkan jalinan kerjasama dengan badan induk tertinggi
KUCHING: Semua pihak khususnya persatuan sukan digesa meningkatkan jalinan kerjasama erat dengan badan induk tertinggi yang sedia ada.
Demikian tegas Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu bagi memastikan misi serta objektif dalam meningkatkan mutu sukan di negeri ini dapat direalisasi sepenuhnya.
“Pentingnya jalinan kerjasama antara persatuan sukan sedia ada mahupun badan induk tertinggi sukan seperti Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSNS).
“Ia mampu menjadi daya penggerak dalam melahirkan barisan atlet pelapis baharu berpotensi untuk diketengah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Antara Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dan Persatuan Lawn Tennis Sarawak (SLTA) bilik mesyuarat Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PSS Morshidi Fredrick yang juga Pengarah MSNS, Presiden SLTA Datuk Patrick Liew, Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan PSS Ahmad Rodzli Hashim, Ketua Bahagian Pengurusan Organisasi PSS Semawi Mohamad serta exco SLTA.
Sumber : Suara Sarawak