Pasukan Saberkas Cawangan Asajaya raih tiket ke Spartan Trial 2021

KOTA SAMARAHAN: Pasukan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) cawangan Asajaya berjaya mendapat tiket percuma menyertai Pertandingan Spartan Trial 2021 pada bulan Oktober depan.

Pasukan itu berjaya meraih gelaran juara dalam kategori larian spartan di Program Karnival Pencarian Bakat Baru di Asajaya semalam.

Manakala tempat kedua dimenangi oleh pasukan Ketom Brothers yang membawa balik hadiah empat helai baju spartan dan cenderahati.

Tempat ketiga pula dimenangi pasukan Underground yang membawa pulang hadiah cenderahati dan empat helai baju spartan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, larian spartan adalah cukup sinonim dengan Sarawak kerana mempunyai hutan dan bukit yang cantik serta sesuai untuk setiap cabaran larian.

Menurutnya, tahun lepas banyak pertandingan larian spartan dibatalkan dan berharap tahun ini dapat mengadakan pertandingan spartan sekali lagi.

“Bagaimanapun , saya difahamkan yuran penyertaan agak mahal. Namun, wakil dari Asajaya yang berminat mengikuti pertandingan bolehlah menghubungi pihak kita untuk pembiayaan yuran.

“Oleh itu, saya berharap peminat sukan lasak itu di Asajaya terus gigih berlatih supaya dapat memberi saingan hebat semasa pertandingan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penutupan Program Karnival Pencarian Bakat Baru di Asajaya, semalam.

Tambahnya, merancang untuk terus mengadakan pertandingan itu tertakluk kepada keadaan semasa penularan wabak Covid-19 kerana ia dapat meningkatkan industri pelancongan.

Sumber : Suara Sarawak Online



Sarawak Sports Corporation