MSNS pantau perkembangan atlet golf, siap sedia hadapi SUKMA Johor

KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) memantau perkembangan atlet golf negeri dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun hadapan.

Pengarahnya Dr Ong Kong Swee berkata, untuk itu pihaknya mengadakan sesi dialog bersama Persatuan Golf Sarawak, atlet senarai panjang sukan golf di Sarawak dan ibu bapa pada 2 September lalu.

“Tujuan sesi dialog ini diadakan untuk memastikan keperluan dan prestasi atlet golf dalam siap sedia untuk bertanding di temasya SUKMA Johor kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ong memberitahu, kebajikan atlet golf Sarawak amat diutamakan dan diberi penekanan bagi meningkatkan prestasi atlet.

“Tambahan pula, Unit Prestasi Tinggi di bawah Perbadanan Sukan Sarawak bekerjasama dengan jurulatih untuk menyediakan perkhidmatan bagi memantau prestasi atlet dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Selain itu, beliau menjelaskan, beberapa atlet golf Sarawak berada di luar negara giat berlatih bagi membuat persiapan untuk temasya SUKMA Johor nanti.

“Kini, atlet-atlet sukan golf masih berada dalam sesi pemilihan untuk disenarai pendek yang dijangkakan pada 31 Disember tahun ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Anthony Tan Hong Chiang dilantik sebagai pengurus pasukan dan akan mengetuai kontinjen SUKMA bagi sukan golf untuk temasya sukan itu di Johor kelak.

“Justeru itu, Persatuan Golf Sarawak berhasrat menganjurkan beberapa kejohanan dalam masa terdekat bagi memberi persediaan kepada atlet golf Sarawak untuk melayakkan diri mereka terpilih dalam senarai pendek SUKMA,” tambahnya.

Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation