12 Jan Medan uji kekuatan diri dan stamina
KUCHING: Brendan Teng muncul juara keseluruhan Kejohanan Pencarian Bakat Gusti Lengan dan Spartan di Batu Kawa di sini semalam.
Brendan turut menggondol hadiah bagi tempat pertama kategori Senior Lelaki (kurang 78kg Lengan Kanan) dan tempat kedua bagi kategori Lelaki Senior (kurang 78kg Lengan Kiri).
Sementara itu, kategori Lelaki Senior (kurang 78kg Lengan Kiri) menyaksikan Rengga muncul juara diikuti Lelaki Senior (lebih 78kg Lengan Kiri), Oscar Mason dan Lelaki Senior (lebih 78kg Lengan Kanan), Davis.
Bagi kategori Junior Bawah 18 Kanan kepada Acho Prince dan kategori Junior Kiri dimenangi oleh Bonnyface Ronny.
Peserta wanita untuk kategori Wanita Lengan Kanan dan kategori Wanita Lengan Kiri dibolot oleh Salina Asim.
Manakala Spartan Challenge menerusi 100 box jump over-24 dimenangi oleh Zulqamain Zaidin dengan catatan masa 2.53 minit.
Hadiah-hadiah pemenang disampaikan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Tan Kai mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Dato Sri Dr Sim Kui Hian di sini semalam.
Presiden Kuching Fitness Association, Carter Wei ketika ditemui berkata Spartan Challenge biasa diadakan setiap tahun menggunakan kaedah merapati komuniti mempromosikan cara dan gaya hidup sihat kepada orang ramai seluruh negeri ini.
Beliau gembira dengan penyertaan terdiri 81 peserta sukan gusti lengan sementara acara Spartan Challenge seramai 120 orang.
Pihaknya menyediakan hadiah menarik selain kemeja T percuma dan menjalankan semua aktiviti sukan mengikut ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah COVID-19.
Jurulatih gusti lengan Armwrestling Club Premier 101, Dominic Johnny berkata karnival itu turut meneraskan kepada pencarian baharu sukan gusti lengan dan latihan secara berkumpulan bagi peserta Spartan.
“Menerusi acara ini kita dapat mencari bakat-bakat baharu dan berharap dengan ini kita dapat mencari pelapis mewakili Sarawak pada masa akan datang.
“Setakat ini, kita mencari bakat-bakat dari bangku sekolah dinamakan projek sekolah dengan menubuhkan Kelab Gusti Lengan setiap sekolah di daerah Kuching, Kota Samarahan untuk menarik lebih banyak golongan belia menyertai sukan ini.
“Latihan gusti lengan juga diadakan dengan SOP amat ketat dan hanya membenarkan tiga atau lima atlet terutama mereka elit untuk turun menjalani latihan dan selebihnya menerusi whatsapp dan wechat dan dibuat latihan di kediaman masing-masing,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee, Presiden Kelab Premier 101, Dato Sri Teng Chi Lik dan Timbalan Presiden Kuching Fitness Association, Gordon Chong.
Sumber : Utusan Borneo Online