19 Jan Masih terlalu awal letak sasaran pingat untuk SUKMA
SIBU, 19 Jan: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan masih terlalu awal untuk Sarawak menetapkan sasaran pingat Sukan Malaysia (SUKMA) ke -21.
Abdul Karim berkata sasaran pingat akan diumumkan pada majlis pelancaran bersama kontinjen Sarawak sebelum temasya SUKMA berlangsung.
“Kita akan umumkan ataupun maklumkan tentang acara-acara dan sasaran kita apabila kita sudah agak dekat sikit dengan tarikh penganjuran, ketika ini ada atlet kita masih lagi di luar negara, ada juga mereka masih dalam jadual pertandingan.
“Belum disenarai pendekkan lagi memandangkan kita masih ada 200 lebih hari lagi menjelang SUKMA , tapi saya percaya apabila kita sudah semakin dekat dengan tarikh pelancaran nanti dan pada masa itu baru lah kita nampak sukan yang mana harus diberi penekanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peenutupan Sukan Sarawak (SUKSAR) III Sibu 2023 di sini pada Khamis.
Sarawak dipilih sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang berlangsung bermula 17 hingga 24 Ogos.
Ini merupakan kali ketiga Sarawak diberi penghormatan menganjurkan temasya sukan terbesar negara selepas edisi 1990 dan 2016.
Abdul Karim berkata lagi, Sarawak akan menurunkan kira-kira 1,000 atlet untuk mengambil bahagian dalam kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada SUKMA.
Selain Kuching, turut menjadi venue acara yang dipertandingkan pada temasya itu kelak ialah Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Menurutnya, ini akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Sarawak menyaksikan SUKMA dan memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding.
“Dengan adanya sokongan padu rakyat Sarawak serta minda para atlet yang betul, saya yakin Sarawak mampu menjuarai SUKMA. Kali terakhir kita jadi juara temasya ini pada 1994,” katanya.
Sumber : TVS