22 Aug Liga SSC-FAS B20 pentas terbaik ketengahkan bakat bola sepak belia Sarawak
KUCHING: Kejohanan Liga Bola Sepak Perbadanan Sukan Sarawak-Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (SSC-FAS) Bawah 20 Tahun (B20) Sarawak 2022 mampu menjadi pentas untuk mengetengahkan pemain belia berbakat ke peringkat kejohanan yang lebih tinggi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, peluang tersebut diharap dapat digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan prestasi bola sepak di negeri ini.
“Harapan kita supaya pentas kejohanan ini menjadi titik permulaan kepada pemain muda secara menyeluruh di Sarawak mengetengah bakat mereka.
“Antara objektif utamanya adalah menjadi platform untuk pemain-pemain mengekalkan prestasi dan terpilih menyarung jersi skuad Piala Belia, Piala Presiden dan skuad utama pasukan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kejohanan Liga Bola Sepak SSC-FAS B20 Sarawak 2022 di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh SSC bersama FAS dengan menyaksikan kejohanan itu berlangsung bermula Ogos sehingga November tahun ini.
Sebanyak 16 pasukan yang terdiri daripada bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman (Zon Tengah), empat pasukan dari bahagian Betong, Sarikei, Sibu, dan Kapit (Zon Tengah) dan empat lagi pasukan dari Miri, Bintulu, Sibu dan Mukah (Zon Utara).
Pusingan Grand Finale pula bakal menampilkan sebanyak lapan pasukan yang mana enam daripadanya layak ke pusingan awal manakala dua lagi merupakan pasukan jemputan dari Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif SSC Morshidi Fredrick, Presiden FAS Datuk Posa Majais, Pengerusi kejohanan Liga Bola Sepak SSC-FAS B20 Sarawak 2022, Ahmad Rodzi Hashim.
Sumber : Suara Sarawak