LIGA SSC-FAS B-20: Pentas kenal pasti pemain berbakat

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan tidak mahu berlaku keciciran pemain berbakat disebalik usaha pihaknya membentuk skuad bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.

Beliau turut memastikan pasukan yang bakal dipertaruhkan untuk temasya dwi-tahunan negara itu tahun depan dibarisi pemain baharu yang hebat dan berbakat dari seluruh pelosok negeri ini.

Justeru, amat bertepatan pendekatan dilakukan menerusi pengelolaan Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun 2023 yang telah pun bermula serentak pada 2 September lalu di empat zon berbeza (Sri Aman, Betong, Mukah dan Bintulu).

“Kita komited untuk cuba mengenal pasti pemain muda berbakat menerusi kejohanan ini yang secara tidak langsung dapat memberi kredit bagi membentuk pasukan menghadapi Sukma XXI 2024,” ujar Awang Putrayusrie kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut beliau, pihaknya juga telah melantik panel khas terdiri daripada jurulatih berpengalaman setiap zon terlibat bagi mengenal pasti pemain muda berbakat.

Oleh yang demikian, tempoh seminggu kejohanan itu berlangsung pasti berupaya dijadikan landasan terbaik bagi merealisasi apa yang disasarkan.

“Pasukan bertanding turut mengetengah himpunan pemain muda berbakat, saya percaya ada kalangan mereka yang berada dalam radar kita,” tambahnya lagi.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation