05 Jan LIGA SSC-FAS 2021: Sri Aman muncul juara
BINTULU: Pasukan Sri Aman FA melakar sejarah tersendiri dengan muncul juara Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021.
Skuad yang terkenal dengan jolokan ‘The Sleeping Croc’ menumpaskan Samarahan FA (1-0) pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Sintetik BDA, petang tadi.
Bintang sensasi Mohd. Adif Salim muncul wira Sri Aman FA apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-67 sekali gus memuktamadkan perjuangan penuh cemerlang anak-anak buah Sufian Ibrahim pada edisi sulung kejohanan terbabit.
Kejayaan itu menyaksikan Sri Aman FA membawa pulang wang tunai RM8,000 beserta piala dan pingat.
Manakala, Samarahan FA selaku naib juara membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan pingat.
Dalam pada itu, pasukan SU FC II dan Miri FA yang kandas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM1,500, piala dan pingat sebagai pemenang tempat ketiga bersama.
Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi, Presiden FAS Datuk Posa Majais serta barisan Exco FAS dan pegawai SSC.
Sumber : Suara Sarawak