22 Feb Lebih RM100 juta dibelanja untuk naik taraf lokasi SUKMA Sarawak
KUCHING: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang direkodkan sebagai temasya SUKMA terbesar negara dengan penganjuran 37 acara telah membelanjakan lebih RM100 juta untuk naik taraf tempat dan gelanggang kejohanan.
Menteri Belia, Sukan san Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesemua tempat di sembilan bahagian yang terlibat sedang menjalani proses naik taraf.
“Ia (naik taraf) sedang dilakukan pada masa ini, kalau kita pergi ke Stadium Sarawak treknya sudah diangkat dan akan diletakkan trek baharu, semua tempat kejohanan terlibat (naik taraf) termasuk di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
“Pembinaan tempat baharu juga ada. Kalau kita lihat Wushu, Ragbi dan Kriket semuanya dalam pembinaan sekarang, tetapi kebanyakan tempat lebih kepada naik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan majlis persidangan Road To SUKMA XXI Sarawak di Auditorium Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan persediaan bagi prasarana dan atlet SUKMA Sarawak kini dilaporkan berjalan dengan baik.
“Semua dalam keadaan baik setakat ini dan saya gembira dengan laporan semasa tentang persiapan atlet dan prasarana yang diberikan kepada saya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyeru agar mana-mana atlet yang telah dipanggil mewakili SUKMA Sarawak yang belum melapor diri ke kem latihan untuk tampil segera bagi memastikan atlet mendapat keserasian setimpal menjelang kejohanan itu kelak.
SUKMA Ke-21 yang akan berlangsung bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos 2024 bakal menampilkan 37 acara sukan secara keseluruhan.
Sumber : Suara Sarawak