18 Jan Latihan dihentikan serta-merta
SESI latihan atlet Sarawak di pusat cemerlang dihentikan serta-merta, tegas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee.
“Arahan tersebut sudah pun kita keluarkan untuk atlet di pusat cemerlang.
“Namun latihan atlet di pusat elit masih berjalan seperti biasa,” ujar Dr Ong yang dihubungi arena Suara Sarawak.
Perubahan ini dilakukan selepas pengumuman darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita akan terus memberi penekanan terhadap prosedur operasi standard (SOP) untuk para atlet.
“Saya percaya tiada masalah bagi atlet kita untuk mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan,” jelasnya lagi.
Ia bukanlah kali pertama para atlet mengalami situasi ini, kerana ia telah pun bermula sejak Mac tahun lalu, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.
Jadi, latihan di rumah atau secara norma baharu sudah pun sebati dalam diri atlet.
Sumber : Suara Sarawak