17 Apr LANGKAH PROAKTIF BAGI MEMPERTAHANKAN KEJUARAAN DI SUKMA XXII KE-22 SELANGOR 2026
Perbadanan Sukan Sarawak dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sarawak telah mengambil langkah proaktif bagi memantapkan lagi mutu kejurulatihan bagi persediaan jurulatih menghadapi SUKMA XXII Ke-22 Selangor 2026 untuk Sarawak mempertahankan kejuaraan SUKMA XXI Ke-21 Sarawak 2024 pada edisi yang lepas. Bengkel anjuran Bahagian Prestasi Tinggi Perbadanan Sukan Sarawak iaitu Bengkel Coaches Coaching & Periodization Bagi Persediaan Jurulatih SUKMA XXII Ke-22 Selangor 2026 yang telah diadakan dari 11-13 April 2025 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong yang disertai oleh seramai 61 jurulatih dan 19 Pegawai Pembangunan Sukan.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Encik Khairul Nizam Bin Morshidi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak. Ini merupakan penganjuran program yang julung pertama kalinya diadakan pada tahun ini yang diketuai oleh Encik Joshua Philip, Bahagian Prestasi Tinggi Perbadanan Sukan Sarawak dengan kerjasama penceramah jemputan Puan Wan Nor Afzan Bte. Mahadi, Pengarah Akademik Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara.
Pemangku CEO SSC menyatakan kepada jurulatih-jurulatih dan persatuan-persatuan sukan untuk mengambil langkah-langkah proaktif termasuk merancang pelan strategik yang teratur seperti merancang takwim latihan, dan sistem pemantauan atlet sebagai penanda-aras sukan berprestasi tinggi. Jurulatih juga perlu memberi komitmen dan disiplin yang tinggi di dalam melatihkan atlet-atlet mereka dan bekerja secara berpasukan, memberi sokongan di antara semua pihak yang akan menentukan kemenangan bagi memfokuskan satu misi. Senarai pemilihan atlet juga perlu dijalankan dari mulai sekarang berdasarkan prestasi, potensi dan sikap atlet dan jurulatih perlu mempunyai analisis kekuatan dan kelemahan pasukan pihak lawan dan mempunyai strategi untuk mengatasinya.
Disamping itu, pada tahun ini juga, pihak kami juga akan menganjur Sukan Borneo yang melibatkan negara-negara seperti Brunei Darussalam, Indonesia-Kalimantan Barat dan Timur, selain Sarawak, Sabah dan Labuan. Selain itu, penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) juga akan dianjurkan.