01 Mar Kuching Knight juara baharu Liga Sepaktaktraw PSS-SSC Kenyalang 2022
KUCHING: Kuching Knight (Kuching A) dinobatkan sebagai juara baharu Liga Sepaktaktraw PSS-SSC Kenyalang 2022 Grand Final di Stadium Serba Guna Petra Jaya semalam.
Pasukan yang wakili Aziqa Khalid (tekong), Harryson Unggong (apit kanan) dan Raffi Zamry (apit kiri) mengetepikan saingan pasukan Samarahan Brilliant (Samarahan A).
Pasukan Samarahan A dianggotai Muhd Faizal Azhar Salleh (tekong) Abang Ajmal Shauqi Abang Mohamad (apit kanan) dan Mohd Rizal Salleh (apit kiri) tewas 2-1 dalam perlawanan akhir yang sengit itu.
Kuching Knight mengambil set pertama 21-18 tetapi tewas 8-21 pada set kedua.
Mereka menunjukkan keazaman dan semangat juang yang kuat untuk bertarung mata demi mata dan akhirnya mengecapi kemenangan pada set penentuan 21-18.
Kemenangan sekali gus membolehkan pasukan Kuching A membawa balik RM3,000, piala cabaran, piala pemenang dan pingat manakala Samarahan Brilliant meraih RM2,000, piala serta pingat.
Tempat ketiga bersama Sri Aman Gators (Sri Aman B) dan Kuda Laut Miri (Miri A) masing-masing menerima RM1,000, piala dan pingat.
Kuching memperoleh lebih banyak penghormatan apabila Aziqa dinobatkan sebagai tekong terbaik, Raffi apit kiri terbaik manakala anugerah apit kanan terbaik dimenangi Abang Ajmal dari Samarahan Brilliant.
“Kami sangat gembira kerana menang hari ini dan saya amat berbangga dengan pencapaian serta prestasi yang dipamerkan oleh pemain.
“Walaupun perlawanan sengit, mereka telah menunjukkan kerja berpasukan yang hebat dan semangat juang yang kental untuk menjadi juara.
“Pasukan juga gembira untuk mencapai sasaran yang kami tetapkan untuk kejohanan ini dan memenangi perlawanan,” kata pengurus pasukan Kuching Knight Zainal Abidin Ahmad.
Majlis penyampaian itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman yang juga Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak.
Turut hadir Presiden Persatuan Sepaktakraw Sarawak (PSS) Dato Abang Ismail Saufi, Naib Presiden Hasweera Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan Ahmad Rodzli Hashim.
Sumber : Utusan Borneo Online