
09 Jun Kejohanan Tenpin Boling Jemputan Antarabangsa Kenyalang 2022 210 pemain bakal berentap
KUCHING: Seramai 210 orang pemain dari 10 buah negara akan berentap dalam Kejohanan Tenpin Boling Jemputan Antarabangsa Kenyalang 2022 yang dijadual berlangsung di Megalanes Sarawak, E-Mart Batu Kawa bermula dari 24 hingga 26 Jun ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata negara terlibat dalam kejohanan selama tiga hari itu ialah Singapura, Australia, Brunei Darussalam, Thailand, Vietnam, Filipina, Indonesia, Ireland, United Kingdom dan Hong Kong.
“Saingan kali ini turut disertai pemain dari beberapa negeri seperti Sabah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur serta Sarawak yang mempertaruhkan pemain dari skuad Sukma 2022 dan pemain dari program pembangunan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya hari ini.
Menurut beliau, kejohanan terbabit yang dianjur oleh Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) mempertandingkan kategori terbuka selain kategori remaja dengan empat pecahan peringkat umur berbeza.
“Kategori remaja dibahagi kepada bawah 12 tahun, bawah 15 tahun, bawah 18 tahun dan bawah 21 tahun,” katanya.
Hadir sama Timbalan Presiden ABAS, Shaifulbahri Shukri, Naib Presiden ABAS, Robert Lu Nam Min dan Ketua Jurulatih Tenpin Boling Sukma Sarawak 2022 Jackson Ting Nik Soon.
Sumber : Suara Sarawak