Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Sarawak 2023 tawar hadiah RM160,000 

KUCHING: Lebih RM160,000 hadiah disediakan untuk pemenang Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Sarawak 2023 yang akan berlangsung dari 4 hingga 9 September depan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu berkata, ia merupakan kejohanan peringkat antarabangsa edisi kedua dan bakal berlangsung di Megalenes Sarawak.

Menurutnya, beberapa pasukan dari negara luar telah mengesahkan kehadiran mereka untuk menyertai kejohanan itu, selain wakil Malaysia sendiri.

“Kejohanan ini turut disertai oleh pemain boling profesional dari Poland, Amerika Syarikat iaitu Daria Pajak yang akan turut mengendalikan klinik bimbingan untuk atlet muda kita,” ujarnya pada sidang media Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Sarawak 2023 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.

Rentap berkata, bagi memastikan kelancaran kejohanan terbabit, beberapa fasiliti yang digunakan perlu dalam keadaan yang baik dan memuaskan.

“Program ini akan disertai beberapa negara melibatkan lebih 300 pemain yang akan menyertai acara itu sekali gus dapat meningkatkan pelancongan sukan dan ekonomi Sarawak.

“Kementerian kita turut memainkan peranan untuk memastikan kemudahan yang disediakan bagi acara itu dalam keadaan baik,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) Robert Lu Nam Min berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan atas sokongan yang diberikan bagi penganjuran acara tersebut.

Kejohanan itu katanya, mempertandingkan empat kategori iaitu terbuka, classified, senior (lelaki dan wanita) dan remaja (bawah 25, 18, 15 dan 13).

“Kita berharap agar penyertaan untuk kejohanan kali ini melebihi jumlah yang disasarkan iaitu 600 pemain,” katanya.

Jelas beliau lagi, kejohanan itu diluluskan oleh Persekutuan Boling Asia (ABF) Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) dan Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Timbalan Presiden ABAS Shaifulbahri Shukri.

Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation