Kejohanan petangue diadakan bermula 22 hingga 23 Oktober

KUCHING: Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong dan Piala Kelab Sosial dan Sukan JTS (LANDAS) Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) 2022 Siri Ke-14 akan berlangsung di Pusat Petanque Sarawak, Kampung Santubong bermula dari 22 hingga 23 Oktober.

Acara berprestij dua hari itu dijangka meriah dengan menyaksikan penglibatan pasukan mewakili beberapa buah negeri seperti Pahang, Terengganu, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan termasuk negara jiran iaitu Brunei Darussalam.

Selain pembabitan beberapa bahagian, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), sekolah, persatuan dan kelab turut terlibat.

Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) Awang Zamhari Awang Mahmood menjelaskan, maklum balas yang amat menggalakkan diterima untuk penganjuran kali ini.

“JTS menerusi LANDAS dengan kerjasama PSPBK dan Lea Sports Centre kembali menganjurkan kejohanan tersebut pada hujung minggu ini di Pusat Petanque Sarawak, Kampung Santubong,” ujar Awang Zamhari pada sidang media dan sempena Majlis Penyerahan Hadiah tajaan Lea Sports Centre di Sarawak Plaza sebentar tadi.

Upacara penyerahan hadiah tajaan itu telah disempurnakan Pengarah Urusan Lea Holding (M) Sdn. Bhd., Raymond Sim Hee Pang.

Dedah Awang Zamhari, setakat ini pihak penganjur telah menerima lebih dua ratus penyertaan setakat ini.

“Jumlah tersebut dijangka terus bertambah memandangkan masih ada masa untuk pendaftaran,” katanya.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation