26 Nov Kami ingin jadi macam Pandelela
KUCHING, 23 Nov — “Kami ingin jadi macam Pandelela Rinong.” Itu impian dua beradik Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin dan abangnya Awang Sharzan Nasin – dua atlet terjun muda Sarawak yang menjadikan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg sebagai idola.
Mula berjinak-jinak dalam sukan terjun seawal usia enam tahun, Dayang Nursharzyra, 14, berkata beliau mula meminati sukan ini apabila melihat abangnya menjalani latihan setiap hari.
“Saya mengikut rapat perkembangan atlet terjun kebangsaan itu melalui media sosial terutama ketika dia (Pandelela) menyertai pertandingan, dari situ saya belajar dan cuba mempraktikkan bagi memperbaiki teknik terjunan semasa dalam latihan selain tunjuk ajar daripada jurulatih,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Meskipun beberapa kali mengalami kecederaan ketika latihan yang bukan sahaja menjejaskan tahap kesihatan fizikal malah mentalnya, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu berkata dia menjadikan itu sebagai cabaran untuk melangkah lebih jauh dalam sukan itu sehingga mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Awang Sharzan Nasin,16, berkata sokongan padu daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa, guru dan rakan-rakan menjadi pendorong utama kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan dalam sukan ini.
“Selain mak dan ayah, paling banyak jurulatih yang bagi tunjuk ajar dan juga sentiasa ingatkan saya dan adik serta rakan-rakan penerjun lain agar tidak berhenti dan berputus asa”, katanya.
Adik-beradik yang berasal dari Kuching ini, pernah mengharumkan nama Sarawak apabila masing-masing menggondol pingat emas acara 1 meter (m) papan anjal individu lelaki dan 3m papan anjal individu wanita dalam Kejohanan Terjun Terbuka Perak 2019 dan kini misi terdekat mereka adalah untuk memenangi pingat emas edisi Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.
Sementara itu, jurulatih skuad terjun Sarawak, Shi Yang berkata selain menjalani latihan sekurang-kurangnya lima jam sehari selama enam hari seminggu, pemilihan atlet mewakili negeri itu juga dijalankan dengan teliti yang mana setiap atlet perlu melepasi tahap ditetapkan.
“Penerjun muda biasa bermula pada usia tujuh tahun…untuk pemilihan, kami pergi ke sekolah-sekolah untuk mencari penerjun berpotensi sebelum mengikuti latihan selama dua hingga tiga tahun,” katanya kepada Bernama.
Jelasnya, sekiranya atlet tersebut mempunyai potensi dan bakat dalam sukan berkenaan, mereka akan terpilih untuk menjalani latihan seterusnya selama enam tahun sebelum menyertai program Elit, satu program menjalani latihan sebelum menyertai Sukma.
Ketika ditemui semasa sesi latihan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, Pegawai Belia dan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak Wesley Inyau Wella berkata atlet pelapis sukan terjun ini dibahagikan kepada tiga program iaitu program Permulaan, Cemerlang dan seterusnya Elit.
Katanya, bagi menilai prestasi atlet di setiap program ini pula, badan tersebut akan mengadakan pertandingan dalaman untuk menetapkan sama ada atlet-atlet ini boleh beralih ke program seterusnya.
Bekas atlet terjun Sarawak itu berkata semangat serta keberanian atlet muda adalah kunci kepada kejayaan Sarawak dalam usaha menghasilkan atlet terjun bertaraf dunia.
Sumber : BERNAMA