INISIATIF GALAK AMALAN BERSENAM GUNA TEKNOLOGI DIGITAL

Kuching(3 September): Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan City Jogger’s Club akan menganjurkan ‘Sarawak Sports Challenge Virtual Run’ bermula 6 September hingga 5 Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam rakaman video pada majlis pelancaran di Pusat Akuatik Pandelela Rinong semalam berkata, larian maya ini diadakan sempena Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

“Larian ini adalah salah satu inisiatif SSC dengan kerjasama City Jogger’s Club untuk masyarakat meneruskan amalan bersenam di rumah dengan penggunaan teknologi digital.

“Tempoh larian selama sebulan dan peserta perlu merekodkan langkah kaki mereka menggunakan GPS (sistem penentukedudukan global), ‘treadmill’ (mesin larian) atau alatan lain yang relevan.

“Satu langkah bersamaan dengan 0.762 meter, manakala 1,000 langkah bersamaan dengan 762 meter dan rekod larian haruslah diserahkan dan dihantar kepada pihak penganjur selewat-lewatnya pada 8 Oktober 2021,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee berkata, program seperti ini perlu diadakan untuk mempromosikan senaman dan gaya hidup sihat.

“Ini sangat penting untuk menggalakan pergerakan badan secara fizikal mahupun emosi bagi memperbaiki kedihatan terutama ketika pandemik ini.

“Meskipun larian secara maya, semua peserta diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Dalam pada itu pendaftaran penyertaan boleh dilakukan menerusi aplikasi JomRun di telefon bimbit.

Larian ini terbuka kepada tiga kategori iaitu 200km(pingat emas), 100km(pingat perak) dan 10km(pingat gangsa).

Lokasi larian akan dilaksanakan secara maya dengan pendaftaran percuma kepada 3,500 peserta terawal sahaja.

Sehingga kini, penganjur telah menerima sebanyak 2,000 peserta yang telah didaftarkan melalui aplikasi JomRun.

Untuk menarik lebih banyak rakyat Sarawak menyertai acara ini, penganjur telah membuka pendaftaran percuma sehingga 3,500 dengan tarikh tutup penyertaan pada 5 September ini.

Selain Bulan Inovasi, program ‘Sarawak Sports Challenge Virtual Run’ ini turut diadakan selaras dengan Hari Sukan Negara yang diadakan pada Oktober setiap tahun oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Lamat Nyalau dan Penasihat City Jogger’s Club Wendel Chan.

Source: Utusan Borneo



Sarawak Sports Corporation