
28 Oct Gelanggang tenis sekolah sukan negeri dinaik taraf dengan ciri antarabangsa
KUCHING: Usaha memperkasakan pembangunan sukan tenis di negeri ini terus diperhebat dengan Kerajaan Sarawak melaksanakan pendekatan lebih komprehensif.
Ia menerusi Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak yang melakukan naik taraf empat gelanggang tenis di Sekolah Sukan Negeri Sarawak (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya, Kuching.
Menteri Muda Belia Dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan menegaskan, kos untuk menaik taraf gelanggang tenis terbabit sebanyak RM431,000 dan dijangka memakan masa selama tiga bulan untuk siap sepenuhnya.
“Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) sebekum ini telah mengemukakan cadangan kepada pihak kementerian dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk menaik taraf gelanggang berkenaan sebagai medan mencungkil bakat pemain baharu khususnya bagi zon selatan.
“Cadangan tersebut telah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Pendidikan” ujar Snowdan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Cadangan Menaik Taraf Padang Tenis di sini, semalam.
Menariknya gelanggang tenis terbabit turut dilengkapi lampu limpah sekali gus menepati klasifikasi ciri-ciri gelanggang tenis bertaraf antarabangsa.
Sumber : Suara Sarawak