21 Sep Emas, perak dari skuasy
KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy berjaya menghadiahkan pingat emas dan perak buat Kontinjen Sarawak, hari ini.
Kedua-dua pingat itu diperolehi dari kategori beregu campuran yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri iaitu gandingan Harith Danial dan Nathalie Sim serta Nathan Kueh dan Ma Si Yi.
Aksi final yang berlangsung di Pusat Squasy Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi menyaksikan kemenangan berpihak kepada Harith Danial dan Nathalie Sim 2-1 (9-11, 11-9,11-5).
“Cukup gembira apabila berjaya menyumbang pingat emas untuk Sarawak.
“Kami diberi tentangan sengit oleh rakan sepasukan sepanjang saingan,” kata Harith ketika ditemui selesai perlawanan.
Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu serta Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak, Morshidi Fredrick.
Sumber : Suara Sarawak