15 Mar Cabaran Muaythai Samarahan 2023 Sabtu ini
KUCHING: Bahagian Samarahan akan menjadi tumpuan peminat sukan lasak dengan berlangsungnya Cabaran Muaythai Samarahan 2023 Sabtu ini.
Program yang dianjur oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Malaysia, Persatuan Muaythai Samarahan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) itu bertempat di Medan Selera Nasi Abe, Kota Samarahan.
Presiden PMNS Jumaat Ibrahim memberitahu, pihaknya menjangkakan program hujung minggu ini akan mendapat sambutan peminat sukan Muaythai khususnya di sekitar Samarahan.
“Sukan muaythai kini semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan belia di seluruh negeri termasuk di Samarahan.
“Ini boleh kita lihat apabila ramai belia termasuk kanak-kanak mengambil bahagian dalam apa juga kejohanan atau cabaran yang kita anjurkan,” ujarnya.
Menurut beliau, program Mari Mencuba Muaythai yang dianjurkan juga mendapat sambutan positif dari mereka yang mahu menceburkan diri dalam sukan tempur ini.
“Faktor ini mungkin kerana belia melihat peluang untuk mereka mewakili Sarawak ada dengan menceburi sukan muaythai. Pada masa sama, muaythai juga menjadi wadah yang sangat baik untuk mengamalkan gaya hidup sihat,” tambah beliau.
Sumber : Suara Sarawak