Brendan Teng Guan Wei juara keseluruhan gusti lengan kejohanan Pencarian Bakat Baharu Batu Kawa 2021

KUCHING: Latihan angkat berat menjadi kekuatan kepada Brendan Teng Guan Wei apabila muncul juara keseluruhan gusti lengan bagi kejohanan Pencarian Bakat Baharu Batu Kawa 2021.

Selain itu, Brendan turut memenangi tempat pertama bagi kategori senior lelaki 78 kg tangan kanan.

Ketika ditemui pemberita, pemuda berusia 20 tahun, itu berkata dia tidak menjangka mampu mengalahkan peserta dari kelas berat yang lain.

Meskipun kejohanan gusti lengan adalah kejohanan yang pertama buat dirinya namun dia berbangga dapat memenangi kejohanan tersebut.

Tambahnya, dia tidak membuat sebarang persediaan untuk sukan tersebut namun dia kerap melakukan latihan angkat berat, ‘squat’, tekan tubi dan ‘deadlift’

“Saya tidak pernah berlatih gusti lengan seumur hidup saya namun saya sering ke gim bersama rakan saya dan mereka sentiasa memberikan sokongan untuk menjadikan saya lebih kuat.

“Kemenangan saya adalah sesuatu yang tidak dijangka namun saya telah berbuat sehabis baik untuk menang,” ujarnya.

Brendan turut memberitahu, kemenangan pada hari ini memberi keyakinan pada dirinya pada sukan gusti lengan dan berlatih dengan lebih keras lagi.

Katanya, dia akan membuat persiapan untuk satu pertandingan gusti lengan yang dijadualkan pada penghujung tahun ini.

Pada kejohanan tersebut, seramai 81 peserta mengambil bahagian dalam lapan kategori dipertandingkan termasuk dua kategori untuk wanita.

Majlis penyampaian hadiah turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri, Tan Kai, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr Ong Kong Swee dan Presiden kelab Premier 101 armwrestling Kuching, Datuk Seri Teng Chi Lik.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation