03 Jan Bentuk Skuad B12 Pusat Pembangunan SSC yang mantap – Erwin
SERIAN: Skuad Pusat Pembangunan Sukan Bola Sepak Bawah 12 tahun (B-12) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan dihantar ke perlawanan liga terbuka B-12 bermula tahun ini.
Ketua Jurulatihnya Erwin Medan menegaskan, usaha itu diambil bagi menguji para pemain ke peringkat perlawanan (pertandingan) sekali gus menterjemahkan latihan-latihan yang dilaksanakan sebelum ini ke perlawanan sebenar.
Antara perkara yang ditekankan menjelang tahun baharu katanya adalah menyertai mana-mana kejohanan B-12 di sekitar Kuching.
“Persediaan menjelang tahun baharu ini memang kita mahu mereka didedahkan untuk mengikuti perlawanan sebagai pentas tahap uji.
“Usaha ini penting untuk mengetengahkan para pemain kerana dari segi latihan memang kita lihat pemain sudah bersedia,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Mengulas mengenai latihan, Erwin menegaskan latihan pertama tahun baharu akan disambung semula pada Rabu (4 Januari) setelah hampir seminggu pemain direhatkan sempena perayaan hari Krismas Disember lalu.
Tambahnya, latihan permulaan lebih memfokuskan kecergasan sebelum para pemain didedahkan semula dengan latihan taktikal.
“Hal ini kerana mereka sebelum ini bercuti dan terlepas tiga sesi latihan namun sebenarnya latihan tahun lalu (2022) mereka telah menamatkan semua latihan dengan baik khususnya pembelajaran bahagian taktikal.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan akan mengambil beberapa muka baharu bagi mengisi kekosongan pemain yang berpindah ke sekolah menengah.
Dedahnya, fokus pengambilan pemain baharu akan diberikan kepada murid-murid berusia enam hingga tujuh tahun.
“Jumlah pemain setakat ini masih kekal sama 30, jadi kita akan melihat semula mana-mana pemain yang sudah berusia 13 tahun mereka akan berpindah ke alam persekolahan menengah jadi untuk mengekalkan jumlah itu kita akan mencari pelapis baharu,” katanya.
Sumber : Suara Sarawak