Bentuk pasukan mantap

PERBADANAN Sukan Sarawak (SSC) bersiap sedia membentuk skuad bola sepak yang mantap bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Badan induk berkenaan telah menjalin kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kuching City FC (KCFC).

Majlis menandatangani dokumen membabitkan keduadua pihak itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

SSC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Manakala, Iswandi Ali Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Kuching City.

Hadir sama menyaksikan termetrai perjanjian itu ialah Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman serta pegawai kedua-dua pihak.

Fazzrudin pada sidang media selepas itu menzahirkan rasa gembira dengan kerjasama yang terjalin itu.

“Terima kasih kepada pihak SSC dengan terjalinnya kerjasama ini.

“Saya percaya usaha yang terbentuk ini dapat memperkasakan urus tadbir membentuk pasukan untuk menghadapi Sukma 2024,” ujar Fazzrudin.

Katanya, perjanjian kerjasama ini melibatkan pasukan Piala Presiden Kuching City FC bawah 20 tahun.

Dalam pada itu, program bagi pencarian bakat akan terus diperhebatkan.

Tegas Fazzrudin, beliau percaya masih terdapat pemain muda berbakat dan berpotensi untuk diserap ke dalam skuad terbabit.

“Kita juga kagum pendekatan yang cuba diketengah oleh SSC bagi membemtuk ‘taskforce’ yang akan disertai jurulatih berpengalaman dari SSC, FAS, NFDP dan Kuching City FC dalam memastikan matlamat membentuk sebuah pasukan muda yang mantap mencapai objeltif diinginkan,” kata beliau lagi.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation