Bakar semangat atlet

PERTANDINGAN Tertutup kategori pecut, rempuh halangan dan larian jarak jauh Percubaan Sukma yang berakhir semalam di Stadium Sarawak adalah untuk menyuntik semangat dan motivasi atlet Sukma XX-Johor 2021.

Jurulatih Olahraga Sukma Sarawak, Noraseela Khalid berkata, langkah yang diambil oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) adalah yang terbaik untuk meningkatkan prestasi atlet sekali gus boleh menilai perkembangan terkini atlet.

“Setakat ini, atlet berada dalam prestasi yang memuaskan kerana pertandingan kali ini adalah yang pertama selepas lama berehat akibat pandemik Covid-19.

“Pertandingan ini adalah langkah terbaik untuk menilai prestasi atlet, sekali gus dapat mengenal pasti atlet terbaik yang akan dibawa ke Sukma tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Suara Sarawak dalam Pertandingan Tertutup Olahraga Percubaan Sukma di Stadium Sarawak, semalam.

Tambah beliau, belum ada kata putus jumlah atlet olahraga yang akan dihantar ke Sukma.

Namun, beliau akan duduk berbincang dengan semua pihak, termasuk persatuan, MSNS SSC dan pihak lain yang terlibat.

“Bagi saya kita perlu meletakkan kelayakan yang sesuai untuk memastikan mereka bersedia untuk bertanding pada tahap Sukma nanti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Noraseela menyatakan bahawa sasaran pingat emas adalah daripada semua pihak.

Ujarnya, atlet yang pernah mendapat pingat perak dalam Sukma 2018 dalam acara 400 meter lari berpagar ialah Mandy Goh yang kini giat berusaha untuk mengejar impian bagi mendapatkan pingat emas di Johor nanti.

“Kami semua sebagai jurulatih akan terus menyokong usaha beliau untuk mencapai impian pingat emas dalam Sukma, termasuk atlet-atlet lain,” katanya lagi.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation